Terbongkar, Kisah Penemuan Manuskrip Melayu Lama
Sebelum Lahirnya Tulisan Jawi Lagi.
Perjalanan saya ke Saint Petersburg mempunyai satu
misi. Saya ingin bertemu dengan Prof. Dr. Alexander K. Ogloblin, pengkaji Nusantara
peringkat dunia dari University of St. Petersburg. Seminggu sebelum itu saya
telah membuat temujanjinya melalui Dr. Tatiana di Moscow.
Satu hari sebelum bertolak, saya dimaklumkan oleh Dr.
Tatiana bahawa beliau tidak ada di St. Petersburg. Saya merasa agak hampa
kerana tujuan asal saya ke St. Petersburg ialah untuk bertemu dengannya
27 Mac 09 jam 11 malam, saya, Helmi, Afiq dan Azam
bertolak ke St. Petersburg dengan menaiki kereta api. Perjalanan ke St.
Petersburg mengambil masa 8 jam. Kereta api yang kami naiki mempunyai gerabak
yang ada katil untuk tidur. Perjalanan melalui kampung-kampung, rumah-rumah
kayu tradisional dan pokok-pokok pine yang diselubungi dengan salji
Kami merentasi gunung dan kawasan berbukit. Susana di
luar sangat sejuk tetapi di dalam gerabak suhunya ialah 22 darjah celcius. Tidak
berapa lama kemudian, datang pelayan kereta api bertanyakan keperluan kami.
Kami tidak mempunyai apa-apa keperluan cuma, minta dibuatkan air teh. Dia
membawakan kami air teh bercampur limau.
Pelayan yang memakai baju seragam berwarna biru tua
melimparkan senyuman kepada kami. Teh di dalam kereta api ini berharga 20 Rubel
bersamaan kurang lebih dua ringgit. Kami sampai ke Saint Petersburg pada pukul
7.10 pagi.
Sesampainya di sini, kami di sambut oleh dua pelajar
kejuruteraan kapal iaitu Nasir dan Amin. Mereka membawa kami dirumahnya. Hari
pertama kami hanya berjalan sekitar bandar. Kami mencari pusat pengajian
Nusantara tetapi pada hari ini pusat ini telah tutup.
Malam ini, saya sempat berkuliah bersama
pelajar-pelajar kejuruteraan kapal di sini. Malam ini setelah kuliah, saya
menghubungi Dr. Tatiana. Setelah bertanya khabar lebih kurang, saya menyatakan
hajat saya untuk berusaha menghubungi Prof. Dr. Goblin. Perbualan kami
terputus.
Tidak lama selepas itu, Dr. Tatiana menghatar mesej
kepada saya.
“Tadi x dengar. Untuk ape nak nbr fone dr Alexander? I
dah cakap dn die sehari lalu, katanya sedang sibuk susun kamus, tak ada masa
untuk kerja lain”
Saya berbisik di hati saya,
“aik..! semalam kata tak ada, hari ini kata tak nak
jumpa pula. Mmm.. jangan jangan memang tidak sudi jumpa kot..”
Selang beberapa ketika, Dr.Tatiana menghantar sebuah
mesej lagi,
“Handphone Alexander – **** **** ***, boleh hubungi
dia untuk dapat tahu tentang manuskrip melayu kuno”
* no saya tidak nyatakan atas tujuan menjaga hak
peribadinya
Keesokkannya harinya, Ahad 29 Mac, saya cuba
menghubungi Dr Alexander. Dia mengangkat telifon saya. Saya terus
memperkenalkan diri dalam bahasa Melayu dan terus menyatakan hajat saya. Dr.
Alexander diam seketika. Kemudian dia bertanya,
“kamu sekarang di mana ni?”
Saya menyatakan bahawa saya berada di penempatan
pelajar Malaysia di St. Petersburg.
Kemudian dia berkata,
“baiklah, bolehkah bertemu saya di….”
Cepat-cepat saya memberi telifon kepada salah seorang
pelajar Melayu di sini.
“Okey Ustaz, saya tahu tempatnya,” Kata Zack pada
saya.
Jam menunjukkan pukul 10.30, kami mula bertolak ke
tempat yang diberitahu. 45 minit selepas itu kami sampai. Saya menghubungi Dr
Alexander dan tidak lama selepas itu dia datang dan menjemput saya ke rumahnya.
Ketika melangkah masuk, Dr. Alexandra mengambilkan
baju sejuk saya dan menyangkutkannya. Gayanya seperti ayah-ayah. Beliau
mempersilakan kami masuk ke bilik kajiannya. Suasana biliknya penuh dengan
buku. Ada yang tersusun rapi di almari dan ada yang bersepah di meja bacaan.
Kebanyakkan bukunya mengenai Nusantara.
Beliau menunjukkan saya
kajian-kajiannya dan sekarang memang beliau sedang sibuk menyiapakan kamus
Bahasa Indonesia – Rusia. Di dalam biliknya penuh dengan buku dan kitab dari
Nusantara. Kamus bahasa Jawa- Inggeris pun ada.
Kami memulakan perbualan
mengenai bahasa Melayu. Dr Alexandra menyatakan mengenai keindahan bahasa
Melayu yang tinggi maknanya.
Saya teringat mengenai
kisah seorang sahabat yang dipesan oleh datuknya.
Jika hendak merantau
maka jagalah pisang sesikat dan jarum di dalam diri kamu.
Sahabat ini pening
kepada memikirkan apakah yang cuba disampaikan oleh datuk ini.
Setelah cuti semester
pertama, maka dia bertanya pada datuknya, apakah makna pisang sesikat dan
apakah makna jarum dalam diri. Datuk ini memberi tahu bahawa pisang sesikat
ialah cantuman kedua belah tangan seolah-olah bersalaman. Ia memberi makna, ke
mana sahaja kamu pergi, hormatilah orang lain.
Jarum dalam diri ialah
lidah kerana lidah sebenarnya lebih tajam dari jarum. Di tempat orang,
hendaklah sentiasa menjaga lidah. Bahasa kiasan seperti ini banyak di dalam
bahasa Melayu. Ini cantik dan indahnya bahasa Melayu.
Dr Alexandra berbual
dengan saya mengenai sejarah dan kebudayaan di Nusantara.
Dia menunjukan kitab
Sulalatus Salatin yang telah diterjemahkan dan diterbitkan di dalam bahasa
Rusia. Mereka mempunyai manuskrip asal kitab ini.
Saya berbual dengannya
dan dia memberitahu saya mengenai tulisan Aksara, tulisan Melayu kuno sebelum
wujudnya tulisan jawi. Ia penemuan lama, sudah lebih sepuluh tahun.
Dia menerangkan kepada
saya mengenai penemuan barunya iaitu satu undang-undang bertulis Melayu yang
baru ditemui di dalam bahasa Aksara. Ia undang-undang Melayu lama.
Jika ia dapat dikaji
dengan baik, ia akan mengetepikan bahawa orang Melayu tidak menulis
undang-undang. Manuskrip ini mempunyai lebih dari 100 helai.
Jika ini terdedah, maka
akan berubahlah fakta sebelum ini yang mengatakan orang Melayu tidak mempunyai
undang-undang bertulis. Hanya adat yang diturunkan dari generasi ke generasi.
Setakat yang ditunjukkan kepada saya, undang-undang bertulis itu mirip dengan
ajaran Islam.
Contohnya seperti,
sesiapa yang menendang orang lain maka dia perlu membawakan makan dan minum. Ia
seperti kifarah yang memberi fakir dan miskin makan.
Jika sesebuah bangsa
telah mempunyai tulisannya sendiri, telah mempunyai undang-undangnya sendiri,
bermakna, bangsa itu adalah satu bangsa yang mempunyai tamadun yang tinggi.
Tetapi kenapa kita tidak tahu semua ini? Kenapa
manuskrip-manuskrip ini berada di luar Nusantara? Kenapa seolah-olah ada
konspirasi menyembunyikan sejarah bangsa ini? Kenapa hindu dan budha yang
pernah ditonjolkan sedangkan Melayu mempunyai jatidirinya.
Kenapa Islam dikatakan lambat datang ke sini? Lambat
atau sejarahnya dihilangkan? Kenapa dihilangkan? Apakah yang sangat ditakuti
pada bangsa ini? Adakah benar bahawa Islam itu akan bangkit dan ia bermula dari
timur jauh ini? Jika benar, adakah itu tujuan utama dihilangkan sejarah bangsa
kita, agar bangsa ini dipisahkan dari Islam atau hilang jatinya?
Persoalan-persoalan itu bermain di benak pemikiran
saya. Saya sudah menemui titik-titik penyambung sejarah bangsa Melayu.
Saya yakin, Islam bermula lebih awal dari apa yang
diberitahu kepada kita. Dan saya yakin, jati diri bangsa ini, tidak boleh
dipisahkan dari Islam.
Jika kita menerima bahawa Islam lambat ke Nusantara,
maka jatidiri Islam dalam darah orang
Melayu tidak akan dipedulikan.
Sesungguhnya, Islam menguatkan semua bangsa. Nilai dan
jatidiri orang Melayu dibentuk dari ajaran Islam yang syumul. Orang Melayu yang
menolak Islam akan menyaksikan hilangnya jatidiri dalam hatinya. Bermula dengan
mempertikai, akhirnya akan memaki bangsa sendiri.
Sesungguhnya Salman al-Farisi, Abu Huzaifah al-Yamani,
Saad al-Ghifari dan lain-lain para sahabat berasal dari suku dan bangsa yang
berbagai. Tetapi, mereka disatukan dengan satu nama. Mereka adalah muslim,
mereka menyembah Allah Yang Satu dan mereka menurut syariat yang satu.
Jika semua bangsa menjadikan Islam sebagai keutamaan,
kita akan melihat lahirnya sebuah bangsa besar. Bangsa Muslim yang sentiasa
mahu kebaikan dan mengcegah kemungkaran.
Perkara ini yang telah disebutkan oleh Allah di dalam
al-Quran :-
Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk
manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan
beriman kepada Allah. (Ali Imran 110)
Inilah Bangsa besar hamba Allah dari Ummat
Rasullullah.
“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”
al-Fakir Ila Rabbihi
Muhamad Abdullah
308, Hostel Kahovskaya Moscow Medical Akademi
30 Mac 09 jam 11.15 malam
Sumber : aminchannel.com, 23 maret 2019.
0 komentar:
Posting Komentar