Selasa, 26 Maret 2019

Penduduk Selatan Thai Harapkan Perubahan

Bangkok 22 Mac - Setiap kali pilihan raya umum Thailand, mata penduduk di wilayah bergolak di selatan negara ini - Yala, Narathiwat dan Pattani- akan bertumpu pada 11 kerusi Parlimen yang menjadi rebutan parti politik.

Tanpa gagal, ceramah dan sesi ramah mesra yang diadakan oleh parti-parti bertanding sentiasa memikat hati ribuan penduduk yang membanjiri padang dan dewan, semata-mata mahu mendengar ucapan dan janji parti terbabit.

Hakikatnya, menurut Timbalan Ketua Dewan Masyarakat Madani Selatan Thai, Mansor Salleh, harapan penduduk terbabit hanya satu, calon yang menang 11 kerusi terbabit akan menamatkan konflik yang telah mengorbankan lebih 7,000 nyawa termasuk orang awam setakat ini.

"Penduduk tempatan mahu proses damai diteruskan agar dapat menyelesaikan konflik dan seterusnya meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi penduduk tempatan," katanya kepada Bernama.

Majlis Syura Patani (Mara Patani) sebelum ini mengumumkan keputusan menggantung rundingan sehingga selesai pilihan raya umum Thailand kerana kecewa terhadap sikap yang ditunjukkan oleh ketua panel rundingan damai Thailand, Jeneral Udomchai Thammasarorat.

Seorang penduduk yang juga mangsa keganasan, Kamnen Chamnankit berharap calon dan parti yang menang pilihan raya umum ini akan menyelesaikan masalah penduduk setempat serta mengembalikan keamanan di wilayah itu.

"Saya harap Perdana Menteri yang baharu bersifat adil dan dapat menyelesaikan masalah rakyat selain menepati janji ketika kempen piilhan raya," katanya kepada Bernama.

Sebelas kerusi yang dipertandingkan di wilayah selatan pada pilihan raya umum Ahad ini ialah masing-masing empat di Narathiwat dan Pattani sementara tiga di Yala dengan hampir 40 parti mendambakan kerusi berkenaan.

Pada pilihan raya umum 2014, Demokrat memenangi sembilan daripada 11 kerusi tersebut iaitu empat di Narathiwat, tiga di Yala dan dua di Pattani.

Ini merupakan pilihan raya umum pertama Thailand selepas rampasan kuasa oleh tentera pada 2014.

Sumber : utusan.com, 22 Maret 2019.
Photo : Bangroon Photo.

0 komentar:

Posting Komentar