Sheikh Ahmad al-Fathani mengasaskan sebuah persatuan kaum
cendekiawan Melayu di Mekah dengan nama Jam’iyah al-Fathaniyyah. Hampir semua
ulama yang berasal dari dunia Melayu yang berada di Mekah pada zaman itu
menjadi anggota persatuan itu. Sheikh Ahmad al-Fathani sendiri selaku ketuanya.
Pada mulanya persatuan itu bergerak serentak, iaitu tidak saja mencetak kitab-kitab malah
menyebarkannya ke dunia Melayu dan seterusnya ke tempat-tempat lain.
Tujuan persatuan itu juga untuk memberi kesedaran kepada putera-putera dunia Melayu agar berupaya membebaskan diri daripada cengkaman pihak penjajah.
Sheikh Ahmad al-Fathani berasa insaf dan sedih
kerana Patani dijajah oleh Siam yang beragama Buddha. Semenanjung Tanah Melayu
dijajah oleh Inggeris yang beragama Kristian dan Hindia- Belanda (Indonesia)
dijajah oleh Holanda (Belanda) juga beragama Kristian.
Jika disemak catatan sejarah, maka dipercayai
bahawa Al-Fathaniyah yang diasaskan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani di Mekah itu
adalah merupakan organisasi politik Melayu yang pertama sekali ditubuhkan (1290
H/1873 M). Organisasi ini jauh mendahului Syarikat Islam (1912 M) yang
ditubuhkan oleh H.O.S. Tjokroaminoto di Jawa.
Setelah murid-murid beliau pulang ke tanah air,
maka mereka mengasaskan berbagai-bagai organisasi di dunia Melayu, antaranya
pada peringkat awal yang dapat disebutkan di sini seperti di Riau-Lingga
berdiri Jam’iyah ar-Rusydiyah yang kemudian lebih popular dengan Jam’iyah
Rusydiyah atau Rusydiah Kelab dan Jam’iyah al-Khairiyah. Tokoh politik yang
menjadi murid Sheikh Ahmad al-Fathani yang berasal dari Riau-Lingga ialah Raja
Haji Ali Kelana dan Raja Haji Utsman.
Dalam dunia politik, Raja Haji Utsman lebih
dikenali dengan nama Raja Khalid al-Haitami (dalam percakapan Melayu disebut
Hitam)
Al-Fathaniyah dengan Ar-Rusydiyah, jika
diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu tidaklah berapa jauh perbezaan ertinya.
Al-Fathanah, dalam bahasa Arab kadang-kadang digunakan juga al-fithnah, jika
diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu bererti: kepandaian, kecerdasan, lekas
faham, kepintaran, dan lain-lain. Ia juga boleh diertikan dengan cerdik atau
kecerdikan.
Adapun al-rusydu boleh diertikan dengan akal,
fikiran, hal mengikut jalan yang lurus, dapat petunjuk, dan lain-lain, dan
salah satu dari ertinya, ialah cerdik atau kecerdikan. Sebagaimana al-fathanah
boleh diertikan dengan cerdik atau kecerdikan, demikian halnya dengan
ar-rusydu. Dari perkataan al-fathanah, maka organisasi yang diasaskan oleh
Sheikh Ahmad al-Fathani di Mekah dinamakan Al-Fathaniyah, sedang dari perkataan
al-rusydu, untuk organisasi yang didirikan oleh murid-murid beliau di Riau
dinamakan Rusydiyah.
Berdasarkan bukti-bukti yang ada, jelas bahawa
keintelektualan perjuangan kerabat Diraja Riau-Lingga itu berasal dari pelbagai
aspek perjuangan Sheikh Ahmad al-Fathani di Timur Tengah.
Catatan tentang Jam’iyah al-Khairiyah sukar diperoleh, namun dapat dikesan hanyalah berdasarkan daripada sebuah buku kecil yang berjudul Jalan Kesatuan atau judul lain Al-Irsyad ila Thariqat at-Ta-allufi wa al-Ittihad karya Raja Haji Muhammad Said bin Raja Haji Muhammad Thahir, yang ada memperkatakan organisasi tersebut.
Buku tersebut diterbitkan oleh Maktabah wa
Mathba’ah al-Ahmadiah, 1345 H/1927 M atas usaha Raja Haji Umar bin Raja Haji
Hasan.
Jam’iyah al-Khairiyah Riau masih aktif sehingga
tahun 1937 M. Barangkali pengaruh Jam’iyah al-Khairiyah Riau itu begitu besar,
maka pada 3 Safar 1342 H/14 September 1923 M di Mesir ditubuhkan pula
Al-Jam’iyah al- Khairiyah li Thalabah al-Azhariyah al-Jawiyah oleh pelajar
dunia Melayu di Mesir.
Murid Sheikh Ahmad al-Fathani pada peringkat
awal yang sangat berminat dalam bidang itu ialah Raja Haji Ali Kelana yang
berasal dari Riau-Lingga, berketurunan campuran Melayu-Bugis. Sesudah itu
menyusul agak terkemudian sedikit ialah Raja Haji Utsman dan selanjutnya
terkenal dengan nama Raja Khalid Hitam. Kader politik Sheikh Ahmad al-Fathani
yang terakhir ialah seperti Nik Mahmud bin Ismail berasal dari Kelantan.
Tokoh tersebut dikenali dengan gelaran Datuk
Nik Mahmud Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan, Haji Muhammad bin Muhammad
Said yang selanjutnya memperoleh gelaran Datuk Laksamana Kelantan, dan Haji
Sulung al-Fathani, iaitu bapa Revolusi Islam Patani dalam masa Perang Dunia
Kedua.
Sheikh Ahmad al-Fathani telah membawa beberapa
orang muridnya, di antaranya Raja Haji Ali Kelana Riau, berulang kali menemui
Sultan Turki, Sultan Abdul Hamid ats-Tsani, kerana meminta bantuan untuk
melepaskan dunia Melayu daripada tangan penjajahan bangsa asing.
Raja Haji Ali Kelana Riau sekurang-kurangnya dua kali mengikut gurunya Sheikh Ahmad al-Fathani ke Turki, kali yang pertama dalam tahun 1301 H/1883 M dan yang kedua dalam tahun 1322 H/1904 M.
Lihat pula tulisan Dr. Virginia Matheson, “Pada
akhir abad ke-19 perhubungan Riau dengan Timur Tengah dikuatkan lagi oleh Raja
Ali Kelana supaya dapat bantuan Turki untuk menentang pemerintah penjajahan
Belanda yang mahu menghapuskan kerajaan Riau-Lingga”. Berdasarkan tersebut,
Virginia Matheson tidak menyebut peranan Sheikh Ahmad al-Fathani, iaitu orang
yang bertanggungjawab mengajak Raja Haji Ali Kelana ke Turki untuk meminta
bantuan menghapuskan semua bentuk penjajahan di dunia Melayu, selain Indonesia
(Hindia- Belanda) dan Semenanjung Tanah Melayu, termasuk Patani dan Cam.
Hubungan politik Sheikh Ahmad al-Fathani dengan
Turki-Utsmaniah itu bukan bererti gagal, tetapi tergendala kerana beliau
meninggal dunia pada 11 Zulhijjah 1325 H/14 Januari 1908 M dan perkembangan
Kerajaan Turki-Utsmaniah pun seterusnya mulai menurun dan lemah.
Pengetahuan dan pengalaman Sheikh Ahmad
al-Fathani ketika membuat hubungan politik dengan negara luar menjadi sumber
inspirasi kepada salah seorang muridnya iaitu Raja Haji Utsman/Raja Khalid
Hitam bin Raja Hasan Riau. Beliau pergi ke Jepun sebanyak dua kali, iaitu pada
1912 dan 1913.
Tujuannya meminta bantuan dari Kerajaan Jepun
mengusir penjajah Belanda dan Inggeris dari bumi Melayu. Keberangkatannya ke
Jepun adalah setelah mendapat persetujuan Raja Haji Ali Kelana dan beberapa kerabat
Diraja Riau-Lingga dan Johor lainnya. Raja Khalid Hitam meninggal dunia di
Jepun pada 11 Mac 1914.
Dalam tahun 1939, ketika menghadapi Perang
Dunia Ke-II barulah utusan Jepun datang ke Singapura mencari keturunan Raja
Khalid Hitam. Yang berjaya ditemui oleh utusan dari Jepun itu hanyalah Ibrahim
Ya’qub, yang ketika itu sebagai pemimpin kebangkitan Melayu.
Ibrahim Ya’qub bersama sahabatnya Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad pun mengadakan perundingan dengan utusan Jepun itu.
Peristiwa itu menjadi titik bermulanya
kedatangan orang-orang Jepun ke dunia Melayu untuk menghadapi perang
Asia-Pasifik. Ibrahim Ya’qub diberi pangkat dalam militer Jepun sebagai
Leftenan Kolonel, sedangkan Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad hanya sebagai
Leftenan saja. Namun kerana kecergasannya, beberapa bulan kemudian Raja Haji
Muhammad Yunus dilantik sebagai Mejar tanpa melalui pangkat Kapten terlebih
dahulu.
Berdasarkan cerita ini dapat disimpulkan bahawa Sheikh Ahmad al-Fathani turut terlibat dalam politik dunia Melayu pada peringkat awal hingga sampai ke pintu gerbang kemerdekaan.
Beberapa pemikiran Sheikh Ahmad al-Fathani
tentang politik adalah cukup jelas seperti yang telah dibicarakan. Untuk lebih
lengkap lagi dapat dirujuk melalui surat-surat antara Sheikh Ahmad al-Fathani
dengan sultan-sultan di dunia Melayu. Di antaranya termasuk surat beliau kepada
Sultan Zainal Abidin III, Terengganu dan Sultan Manshur, Kelantan. Selain surat
yang tersebut, banyak lagi surat Sheikh Ahmad al-Fathani yang membicarakan isu
politik yang ditujukan kepada murid-muridnya.
Di antara surat beliau yang membicarakan isu
politik termasuk beberapa pucuk yang ditujukan kepada Nik Mahmud bin Ismail
Kelantan, yang ketika itu masih belajar di Mesir.
Surat dari raja-raja Melayu yang ditujukan
kepada Sheikh Ahmad al-Fathani juga banyak, termasuklah surat daripada Raja
Muda Jambu bertarikh 30 Jamadilawal 1316 H/1898 M. Surat tersebut adalah
sebagai bukti bahawa Raja Jambu termasuk salah seorang yang anti penjajah
Siam-Buddha.
Kata Raja Jambu, dalam surat tersebut, “Maka
sangatlah bertambah- tambah harap sahaya mi[n]ta Tuan tolong mendoakan bagi
sahaya wal ‘iyal, mi[n]ta Tuhan li[m]pahkan kebajikan dunia dan akhirat dan
lepaskan sekalian kekeruhan dan dijauhkan sekalian bala’-waba’ dan kesusahan
kuffar Siam, sekarang ia masuk duduk memerintah di dalam Jerim pula. Maka jadi
dua raja sangatlah kesusahan dan kepicikannya. Mi[n]ta Tuhan pindahkan dia
dengan segeranya …”
Daripada surat yang tersebut dan surat-surat
raja-raja Melayu yang ditujukan kepada Sheikh Ahmad al-Fathani, dapat
dirumuskan bahawa beliau menjadi rujukan pelbagai persoalan termasuklah politik
bagi sultan-sultan di dunia Melayu.
Pemikiran Politik
Pemikiran politik Sheikh Ahmad al-Fathani dapat
dilihat dalam beberapa kitab beliau, antaranya Hadiqah al-Azhar, Faridah
Faraid, Jumanah At-Tauhid, dan Al-Fatawa Al-Fathaniyah.
Sumber : TUNAS Online, 26 Februari 2019.
0 komentar:
Posting Komentar