Patani adalah suatu
negeri daripada negeri-negeri Melayu. Telah lahir sebahagian putera-puteranya
orang-orang yang baik-baik, cerdik serta arif bijaksana. Adalah pada zaman dulu
di bawah satu daulah (kekuasaan/pemerintahan) daripada daulah-daulah mereka yang
agung/besar".
Ramai yang menyangka
bahawa orang Patani hanya terlibat dalam satu bidang keislaman saja kerana
cukup ramai ulama yang berasal dari Patani yang muncul sebagai pengarang kitab.
Pada pandangan penulis, sebenarnya orang-orang Patani bukan hanya terlibat
dalam penulisan kitab tetapi juga terlibat dalam seluruh aspek kemasyarakatan.
Ulama-ulama yang sudah
cukup terkenal seperti Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Sheikh Zainal
Abidin bin Muhammad al-Fathani, Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani, Sheikh
Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dan ramai lagi.
Di sini penulis
menonjolkan tokoh-tokoh Patani yang nadir, yang belum dibicarakan. Bahkan nama
sesuatu tempat yang berasal daripada aktiviti mereka masih dapat dikesan
walaupun kadang-kadang tokoh pemula, nama mereka tidak dikenali.
Kadang-kadang dikenal
nama, tetapi orang tidak dapat mengesan bahawa pemula tadi adalah berasal dari
Fathoni Darus Salam. Untuk mewakili sekian ramai tokoh orang Patani selaku
pemula sesuatu aktiviti atau kejadian, maka di sini hanya penulis sebut
beberapa orang yang kebanyakannya adalah ulama, sebagai contoh di antara
mereka.
Mengenai mereka ini
penulis bahagikan kepada beberapa tempat yang wujudnya peranan mereka, iaitu di
Betawi, Sulawesi Selatan, Kalimantan Barat, Kepulauan Riau, Siak, Jambi, Aceh,
Brunei, Semenanjung, Mekah, Mesir dan Turki.
Peranan ulama Patani di
Betawi
Kedatangan orang Patani
ke Betawi, baik secara langsung dari Patani ataupun setelah mereka dari Campa
memang telah lama. Jika benar Sunan Gunung Jati/Syarif Hidayatullah adalah
putera Sultan 'Umdatuddin bin Saiyid Ali Nurul Alam Sultan di Campa, menurut
salah satu versi, bahawa Sunan Gunung Jati berhasil menguasai Sunda Kelapa itu
pada 21 Jun 1527 M.
Sejak itu, beliau dan
orang Patani yang ada hubungan dengan Sunan Gunung Jati ramai yang hijrah ke
Betawi untuk membantu dan mengukuhkan kedudukan Sunan Gunung Jati.
Di antara sekian ramai
orang Patani termasuklah keturunan Sheikh Daud bin Abdullah al-Malikul Mubin.
Salah seorang di antara keturunannya ialah Wan Abdul Bagus, datuk neneknya
berasal dari Patani tetapi beliau sendiri dilahirkan di Betawi. Beliau membuka
Kampung Melayu di Betawi dalam tahun 1656 M.
Pemerintah Kolonial
Belanda melantik Wan Abdul Bagus menjadi Ketua Orang-orang Melayu atau digelar
dengan Capitain Malleyer. Wan Abdul Bagus al-Fathani menguasai tanah yang luas
di bahagian tepi kiri-kanan Kali Ciliwung sebelah selatan dan bersempadan
dengan tanah Meester Cornelis. Pemilikan tanah dikeluarkan dalam tahun 1661 M
dan ditambah lagi tahun 1696 M sehingga menjadi amat luas.
Wan Abdul Bagus
meninggal dunia tahun 1716 M. Beliau digantikan oleh anaknya Wan Abdullah.
Gabenor Jenderal Belanda, bernama Frederik Durven (1729-1732) tidak menyukai
Wan Abdullah. Lalu Belanda mencabut haknya dengan merampas kekayaan dan
melucutkan jawatannya sebagai Kapten Melayu. Kemudian Wan Abdullah ditangkap,
dipenjara, disiksa dan dibuang.
Berdasarkan cerita di
atas dapat disimpulkan bahawa keluarga besar ulama Patani pernah berperanan
penting di Betawi baik dalam kepemimpinan duniawi mahupun kepemimpinan menuju
ukhrawi. Selain itu ada jalinan hubungan ulama antara Aceh-Patani-Betawi.
Generasi terakhir orang
Patani yang berperanan sebagai ulama terkenal di Betawi ialah Kiai Sheikh Ahmad
al-Marzuqi al-Fathani al-Batawi yang datuk neneknya ialah Sheikh Daud bin
Abdullah al-Malikul Mubin, seperti yang telah disebutkan.
Kiai Syeikh Ahmad al-Marzuqi
wafat di Betawi hari Jumaat 25 Rejab 1353 H/1934 M. Riwayat lengkap mengenai
ulama ini telah penulis muatkan sebelum ini, juga dalam buku Thabaqat Ulama
Asia Tenggara jilid ke-3.
Peranan ulama Patani di
Sulawesi Selatan
Dalam tahun 1602-1632 M,
berlaku pelarian beramai-ramai orang Patani kerana peperangan yang begitu
panjang antara Fathani Darus Salam yang beragama Islam dengan kekuasaan besar
Siam dari utara yang beragama Buddha.
Datuk Maharajalela,
yang nama sebenarnya ialah Faqih Ali bersama dua anak saudaranya, Paduka Raja
dan Puteri Senapati hijrah dari Fathani Darus Salam ke Kerajaan Gowa membawa
bendera Fathani Darus Salam yang disebut Bendera Buluh Perindu, serta khazanah
pusaka kebesaran kerajaan itu.
Di Gowa, beliau dan
rombongan disambut oleh Raja Gowa, yang pada zaman itu diperintah oleh I
Mangarangi Daeng Marabbia (Raja Gowa XIV). Di Kerajaan Gowa itu Faqih Ali/Datuk
Maharajalela dilantik sebagai Ketua Orang-orang Melayu. Pada zaman itu di
Sulawesi Selatan telah ramai orang Melayu di antaranya yang datang dari Johor,
Riau, Pahang, Minangkabau, Aceh dan lain-lain.
Menurut riwayat,
keturunan beliau terlibat dalam perang melawan penjajah Belanda. Mereka
menyokong perjuangan Sultan Hasanuddin ketika berperang melawan Admiral
Spelman. Adapun keturunan Puteri Senapati diriwayatkan adalah sebagai asal
keturunan orang-orang Melayu di Ujungpandang dan menyebar di seluruh Sulawesi
Selatan.
Barangkali kerana
mereka kenal jati diri datuk neneknya yang anti kepada penjajah Siam,
demikianlah jua keturunan tersebut yang berada di Sulawesi Selatan adalah
orang-orang yang anti kepada pemerintah Belanda.
Peranan ulama Patani Di
Kalimantan Barat
Dalam lingkungan tahun
1180-an H/1760-an M, penduduk Kuala Mempawah, Tanjung Mempawah dan kampung-kampung
sekitarnya terkejut kerana didatangi oleh sekitar 40 perahu yang besar-besar
belaka. Setelah dua orang ulama, Sheikh Ali bin Faqih al-Fathani dan Sheikh
Abdul Jalil al-Fathani naik ke darat untuk menghadap Upu Daeng Menambon, iaitu
Raja Mempawah pada masa itu, barulah diketahui oleh penduduk bahawa
perahu-perahu itu datang dari negeri Fathani Darus Salam.
Kedua-dua ulama itu
mendapat kedudukan dan dihormati oleh masyarakat kerana pengetahuan luas mereka
dalam keislaman.
Sheikh Abdul Jalil
al-Fathani meneruskan penyebaran Islam ke Sambas, setelah meninggal dunia
digelar oleh penduduk dengan Keramat Lumbang kerana maka mnya terletak di
Lumbang, Sambas.
Adapun Sheikh Ali
tinggal di Kampung Tanjung, Mempawah. Pada mulanya sebagai seorang guru
mengajar kitab kepada masyarakat, tetapi sewaktu Habib Husein al-Qadri (Tuan
Besar Mempawah), iaitu Mufti Mempawah yang pertama dan guru bagi Upu Daeng
Menambon hampir meninggal dunia (1184 H/1770 M), maka ulama yang berasal dari
Arab itu berwasiat.
Wasiat itu ialah bahawa
tiada yang layak menjadi Mufti Mempawah sebagai pengganti beliau melainkan
Sheikh Ali yang tinggal di Kampung Tanjung itu. Wasiat Habib Husein
al-Qadri/Tuan Besar Mempawah itu dilaksanakan oleh pihak istana Raja Mempawah.
Sheikh Ali dilantik
sebagai Mufti Kerajaan Mempawah dengan gelaran Maharaja Imam Mempawah.
Beliaulah yang pertama bergelar demikian itu. Dengan demikian, Sheikh Ali
adalah Mufti Mempawah yang kedua.
Beliau memperoleh
zuriat yang ramai di Kalimantan Barat. Beberapa orang di antaranya berperanan
sebagai tokoh terkemuka. Salah seorang anak beliau bernama Abdur Rahman atau
lebih terkenal dengan nama gelar Wak Tapak. Beliau ini adalah seorang pahlawan
Mempawah.
Sewaktu perkelahian
antara orang-orang Cina dengan Melayu di Mempawah, Mandor dan tempat-tempat
lainnya termasuk Wak Tapak yang berasal dari Patani dan Tengku Simbob yang
berasal dari Riau beliau berhasil mengalahkan orang-orang Cina.
Dimulai dengan
kedatangan Sheikh Ali ke Mempawah itu secara berantai, orang-orang dari Patani,
Kelantan dan Kedah terutamanya yang ada hubungan pertalian keturunan dan
keilmuan dengannya terus menerus datang ke Kalimantan Barat, kecuali terhenti
setelah Indonesia merdeka kerana sistem pemerintahan telah jauh berubah
coraknya.
Tokoh-tokoh yang
terkemuka yang berasal dari Patani sesudah itu ialah: Wan Nik al-Fathani iaitu
seorang ulama sufi guru masyarakat. Menantunya Haji Hasan al-Fathani adalah
Imam Masjid Jamek Pemangkat (Kabupaten Sambas). Haji Hasan al-Fathani sahabat
Sheikh Basiyuni Imran yang lebih terkenal dengan gelaran Maharaja Imam Sambas.
Selanjutnya yang datang
dari Kedah pula ialah Sheikh Muhammad Yasin yang membuka pondok pengajian di
Kuala Mempawah. Dari Kelantan ialah Haji Ismail bin Abdul Majid yang pernah
menjadi Mufti Pontianak. Manakala Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani
adalah Mufti Mempawah yang terakhir.
Walaupun ketiga-tiga
ulama tersebut itu bukan berasal dari Patani, tetapi tetap ada hubungan dakwah
dan pendidikan Islam dengan Sheikh Ali kerana sebelum mereka mendapat kedudukan
di sana, semuanya tinggal di rumah keturunan Sheikh Ali.
Yang terakhir ialah
penulis sendiri yang berasal keturunan Patani di Riau. Datang ke Sambas 18
Januari 1968 dan selanjutnya ke Mempawah 1970-1988, dan sempat mencatat hampir
semua peristiwa mulai Sheikh Ali hingga Haji Abdur Rahman al-Kalantani dari
mulut Haji Abdur Rahman Kelantan sendiri, kerana beberapa tahun penulis tinggal
di rumah beliau.
Selain itu, semua
peristiwa pula dicatat dari keturunan mereka dan orang tua-tua di Mempawah.
Peranan ulama Patani di
Kepulauan Riau
Kepulauan Natuna,
Siantan, Jemaja dan Tambelan yang semuanya terletak di Laut Cina Selatan adalah
kepulauan-kepulauan yang mesti disinggah oleh para pelayar pada zaman dulu.
Orang Patani pula baik yang dari Patani sendiri ataupun keturunan mereka yang
telah lama tinggal di Campa, setiap kali berulang-alik antara
Patani-Jawa-Campa, sentiasa singgah di kepulauan-kepulauan itu.
Pulau yang terbesar di
Laut Cina Selatan ialah Pulau Bunguran. Di sana, memasuki sungai kecil disebut
Sungai Semala, terletak sebuah kubur yang dikeramatkan orang yang disebut
Keramat Binjai, iaitu seorang ulama yang berasal dari Patani, yang
berkemungkinan dari Semela, Patani.
Keseluruhan Pulau
Natuna itu memang dibuka oleh orang Patani. Pemerintah pulau itu disebut
sebagai Datuk Kaya dan semua mereka memakai nama 'Wan' di pangkal nama.
Menunjukkan bahawa mereka juga berasal dari kaum bangsawan Patani. Demikian halnya
dengan Datuk Kaya Kepulauan Tambelan.
Sebelum menceritakan
asal-usul Datuk Kaya di sini, penulis catatkan sedikit peristiwa, bahawa
sekitar abad ke-16-17, sebuah perahu terdampar di Pantai Teluk Baruk disebut
juga Gunung Rujin di Pulau Bunguran itu.
Di tempat perahu itu
terdampar kemudian dinamakan orang dengan Tanjung Kapal. Dipercayai perahu
tersebut berasal dari Patani setelah melalui Campa. Hinggakan pemimpin
rombongan perahu terdampar itu belum diketahui secara pasti, tetapi salah
seorang keturunannya bernama Wan Taksim.
Wan Taksim inilah
mengutus seorang anaknya bernama Wan Abu Bakar belajar ke Mekah. Beliau hidup
sezaman dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Kedua-duanya ada hubungan
keluarga dan tinggal serumah di Mekah.
Setelah menjadi ulama,
Haji Wan Abu Bakar mendapat arahan Sheikh Daud supaya menyebarkan Islam di
kepulauan-kepulauan yang tersebut.
Koleksi tulisan :
Allahyarham Wan Mohd. Shaghir Abdullah.
Sumber : Ulama
Nusantara.
Kambi Casino - Kambi Bintar
BalasHapusKambi Bintar is the best online casino 1xbet korean in South Africa. We provide you with all your favourite games, live kadangpintar casino games and 카지노사이트 the latest entertainment from