Minggu, 03 Maret 2019

Gerakan Perjuangan Kemerdekaan: Jamiiyah Fathaniyah Hingga NU-Muhammadiyah dan Partai Agama Islam Malaysia.

Kesan daripada perjuangan yang berusia ratusan tahun ini, selepas kekalahan dari perang pembebasan Patani sejak Tengku Lamidin 1789 hingga Tengku Sulung pada 1832, para ulama Patani mulai berhijrah ke Mekah dan menyusun strategi baru dalam perjuangan kemerdekaan.

Seorang tokoh ulama yang paling menonjol dan kharismstik dalam usaha memerdekakan Patani dan Tanah Melayu dari Penjajah ialah Sheikh Ahmad al-Fathani. Beliau telah mengkader ulama-ulama Melayu untuk menjadi jentera penggerakan perjuangan membebaskan tanah air.

Penglibatan murid-murid beliau dalam dunia pendidikan sama ada di pondok pesantren dan madrasah, percetakan, penerbitan majalah, dakwah dan jihad bersenjata ke atas penjajah cukup luas pada akhir 1890-an dan awal 1900.

Daripada usaha Sheikh Ahmad al-Fathani mengkaderkan Sheikh Tahir Jalaluddin, Sheikh Abbas Taha dan Syed Sheikh al-Hadi telah melahirkan majalah "al-Imam"yang terkenal itu pada 1906 tahun yang dipersetujui semua sarjana sebagai bermulanya nasionalisme Melayu.

Selain gerakan ulama melalui media, pendidikan dan penulisan, gerakan yang lebih berkesan dan mempunyai hubungan langsung dengan Partai Agama Islam Malaysian (PAS) ialah usaha Sheikh Ahmad al-Fathani menubuhkan Jam’iyah al-Fathaniyah di Mekah pada 1873 yang menjadi persatuan pertama orang Melayu yang dianggotai oleh ulama-ulama dan pelajar Melayu di Mekah.

Seorang murid Sheikh Ahmad al-Fathani, Raja Ali Kelana Riau telah menubuhkan persatuan yang serupa iaitu Jam’iyah Rusyidiyah di Pulau Penyengat, Riau pada 1880 dengan Syed Sheikh al-Hadi sebagai setiausaha.

Pada 1900, Jam’iyah al-Khairiyah ditubuhkan di Riau mengambil contoh Jam’iyah Rusyidiyah. Jam’iyah Khairiyah mempunyai pengaruh yang kuat sehingga mencetak sebuah gerakan Jam’iyah Khairiyah ditubuhkan di Jakarta pada 1905. Dahm (1988) mengatakan Jam’iyah Khairiyah inilah yang menjadi asas kepada penubuhan Sarekat Dagang Islam (kemudian Sarekat Islam) pada 1909. Sarekat Islam merupakan partai politik Islam yang pertama dan paling berpengaruh di Indonesia.

Pada 1920, Sarekat Islam membuka cabang di Johor di bawah pimpinan Haji Ibrahim Sidin, diikuti oleh cabang menyerah pada 1921 yang dikatakan bergerak di bawah pengaruh Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong. Cabang tersebut, mempunyai 800 ahli lumpuh selepas berakhirnya pemberontakan tani di Terengganu pada 1928.

Di Indonesia, Sarekat Islam juga menjadi asas kepada tertubuhnya beberapa organisasi Islam seperti Muhammadiyah dan Nahdhatul Ulama yang kemudiannya menubuhkan Majlis A’la Islam Indonesia sebelum berganti menjadi Majlis Syura Muslimin (Masyumi) pada 1945.

Menurut Wan Mohd Saghir, Jami’yat Khairiyah di Riau juga telah mempengaruhi penubuhan Jam’iyatul Khairiyah fi Thalabah al-Azhariyah al-Jawiyah di Mesir pada 1923. Tokoh utama Jam’iyatul Khairiyah Mesir ini ialah Kiyai Haji Hashim Asy’ari yang juga murid kepada Sheikh Ahmad al-Fathani. Kiyai Hashim kemudian mengasaskan Nahdhatul Ulama pada 31 Januari 1926
Pada 1932, tokoh pemimpin Jam’iyatul Khairiyah Mesir ialah Sheikh Abu Bakar al-Asa’ary dan Abdul Kahar Muzakkir (Profesor). Sheikh Abu Bakar kemudian terkenal sebagai pemimpin reformis di Malaysia, manakala Profesor Abdul Kahar Muzakkir pula menjadi pemimpin utama Muhammadiyah. Seperti juga Kiyai Hashim Asy’ari yang berguru dengan Sheikh Ahmad al-Fathani.

Seorang lagi tokoh penting iaitu Kiyai Ahmad Dahlan yang juga belajar di Mekah, mungkin murid Sheikh Ahmad al-Fathani telah menubuhkan Persyarikatan Muhammadiyah pada 18 November 1912 setelah terpengaruh dengan gerakan pembaharuan Islam di Mekah dan Mesir. Turut berada di Mekah pada awal abad ke-20 ialah Kiyai Agus Salim yang menjadi pemimpin Sarekat Islam pada 1915 menggantikan Omar Said Tjokroaminoto. Seorang lagi murid Sheikh Ahmad yang turut menubuhkan persatuan Islam ialah Kiyai Sulaiman Rasuli yang mengasaskan Persatuan Tarbiyah Islamiyah di Indonesia.

Di Tanah Melayu(Malaysia), murid Sheikh Ahmad al-Fathani yang terkenal, adalah Tok Kenali bersama Dato’ Paduka Perdana Menteri Nik Mahmud Nik Ismail telah menubuhkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada 1915. Badan ini kemudian menyatukan ulama-ulama dan berperanan besar melahirkan generasi pejuang melalui Sekolah MAIK (sekarang Maahad Muhammadi).

Tok Kenali juga turut menubuhkan Jam’iyatul al-‘Ashriyyah di Kota Bharu, Kelantan pada 1920, yang menjadi kelab inteligensia Melayu terawal di Kelantan. Jam’iyatul al-‘Ashriyyah ini memberikan idea gagasan kepada murid Tok Kenali, Tuan Guru Abdullah Tahir Ahmad adiknya, Tuan Guru Mokhtar Ahmad untuk menubuhkan Jabhat al-Ulamak Kelantan pada 1934 yang bergerak menyatukan ulama sebelum perang penjajah kolonialisme dan Kerajaan siam

Tuan Guru Mokhtar Ahmad kemudian menjadi pemimpin Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) cabang Kelantan pada 1947 sebelum berganti menjadi Hizbul Muslimin pada 1948. Tuan Guru Mokhtar Ahmad pada 1955 menjadi calon PAS di Pasir Mas, manakala Tuan Guru Haji Abdullah Tahir menjadi ulama terawal menyertai PAS pada 1954.

Dengan mengambil jejak usaha dan jasa ulama-ulama serumpun Melayu dan Nusantara masa silam, mereka telah meletakkan kepentingan Islam di atas kepentingan yang lain, mereka telah berjuang tanpa mengira batasan wilayah, mereka telah berusaha bersungguh-sungguh untuk melihat serumpun Melayu dan Nusantara ini terus kekal merdeka dan bersatu di bawah panji-panji Islam.

Oleh itu, tidak ada salahnya di dalam mengatur masa depan dalam konteks hubungan antara negara-negara serumpun ini kembali sejenak melihat memori kolektif tokoh-tokoh ulama pejuang masa dulu yang telah meletakkan kepentingan Islam di atas kepentingan yang lain dan tanpa komunalisme dan nasionalisme.

Sumber : Konfrontasi, 01 Agustus 2018.

0 komentar:

Posting Komentar