Semenanjung Melayu
mengunjur sepanjang 842 batu atau 1, 355 km dari Segenting Kra di Thailand ke
titik paling selatan di benua Asia di Tanjung Piai, Malaysia.
Banyak ketamadunan Melayu
muncul di sepanjang semenanjung yang membentuk halangan daratan semulajadi di
antara Lautan Hindi dan Laut China Selatan ini.
Langkasuka, Srivijaya
dan Melaka antaranya adalah kuasa politik ketamadunan Melayu yang banyak
meninggalkan kesan terhadap struktur sosio-politik di Semenanjung Melayu.
Berkurun lamanya,
kedaulatan kerajaan-kerajaan Melayu ini membentang melampaui wilayah moden
Semenanjung Malaysia sehinggalah Perjanjian British-Siam dimeterai di antara
Siam dan British pada tahun 1909 tanpa rela pemerintah kerajaan-kerajaan
Melayu.
Sejauh manakah
Perjanjian British-Siam 1909 ini sah di bawah undang-undang antarabangsa?
Bunga Mas
Setelah kejatuhan
Melaka pada tahun 1511 ke tangan Portugis, Semenanjung Melayu ditadbir oleh
beberapa kerajaan-kerajaan Melayu kesinambungan Kesultanan Melaka.
Pihak Portugis hanya
bertumpu di Kota Melaka, tidak berupaya untuk mengembangkan pengaruh mereka ke
seluruh Semenanjung.
Kesultanan Melayu
Pattani pernah mempunyai wilayah yang luas merangkumi beberapa wilayah moden di
dalam Thailand termasuk Satun, Trang, Yala, Pattani dan Narathiwat.
Pattani mempunyai
hubungan yang rapat dengan Siam dan mengirim bunga mas ke Istana Raja Siam
dalam bentuk bunga mas yang Siam anggap sebagai simbol pertuanan mereka ke atas
kerajaan Melayu ini.
Selain Pattani,
kerajaan-kerajaan Kedah, Kelantan dan Terengganu juga turut mengirim bunga mas
kepada kerajaan Siam.
Walaupun Siam
menganggap amalan ini sebagai simbol kekuasaan mereka, negeri-negeri Melayu ini
melihatnya sebagai suatu pertalian persahabatan.
Sebagai contoh, seperti
yang tercatat di dalam buku Historical Dictionaries of Asia, Oceania and the
Middle East yang diedit oleh Jon Woronoff, Terengganu mengirim bunga mas kepada
Siam sebagai balasan kepada Raja Siam yang terlebih dahulu menghadiahi kerajaan
Terengganu dengan pelbagai pemberian berharga.
Kedah juga berpendapat
bahawa amalan ini hanya sekadar isyarat persahabatan di antara kedua-dua
negara.
Perjanjian British-Siam
1909
Garis sempadan
antarabangsa yang kini terpakai di antara Malaysia dan Thailand telah dilukis
oleh pihak Siam dan British menerusi Perjanjian British-Siam 1909, tanpa
merujuk kepada sultan-sultan Melayu pada ketika itu, mengakibatkan berlakunya
kesan sosio-demografi yang rata-ratanya dialami oleh majoriti penduduk Melayu
di wilayah selatan Thailand iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat.
Sungai Golok yang
sekangkang kera itu telah dijadikan sempadan negara di antara Malaya dan Siam,
memisahkan masyarakat Melayu di Kelantan dengan bekas rakan senegara mereka di
Yala, Pattani dan Narathiwat yang kini menjadi milik Thailand.
Garis sempadan
antarabangsa yang merentasi perbukitan Bukit Puteh di Perlis memaksa masyarakat
Melayu di wilayah Satun untuk tidak lagi dianggap sebagai rakyat Kedah mahupun
Perlis.
Sebagai contoh, Kampung
Ko Puyu (Pulau Puyu) dan Kampung Ko Yao (Pulau Panjang) didiami hampir seratus
peratus masyarakat Melayu.
Seperti yang
digambarkan dalam Figura 1, perkampungan ini hanya terletak kurang dari 20
kilometer dari Kuala Perlis dan berjarak lebih dekat dengan tanah besar
Semenanjung Malaysia berbanding Pulau Langkawi. Masyarakat di sini bertutur
dalam loghat Kedah tetapi garis sempadan yang dilukis secara sesuka hati oleh
British dan Siam ini telah menyaksikan orang-orang Melayu di sini tercerai
daripada saudara-saudara mereka di Kedah dan Perlis.
Sejauh Manakah
Perjanjian ini Sah?
Undang-undang
antarabangsa mengesahkan hanya negara berdaulat berhak menandatangani
perjanjian antarabangsa.
Sesetengah sarjana
mengatakan bahawa negeri-negeri Melayu ini bukanlah negara berdaulat tetapi
hanya negeri lindungan Siam.
Pengataan ini, walaubagaimanapun,
tidaklah benar secara keseluruhan.
Undang-undang
antarabangsa ada menetapkan bahawa sesebuah entiti politik itu boleh diiktiraf
sebagai sebuah negara apabila ianya memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan.
Ini termasuk mempunyai
wilayah yang berpenduduk, memiliki kerajaan yang berfungsi dan kapasiti untuk
menjalin hubungan antarabangsa dengan negara-negara lain.
Kedah adalah salah satu
kesultanan yang paling tua di dunia yang diasaskan pada tahun 1136.
Sebelum menjadi
sebahagian daripada Malaysia, Kedah telahpun mempunyai wilayah berpenduduk yang
ditadbir oleh kerajaan yang berfungsi penuh serta telahpun menjalin hubungan
antarabangsa dengan negara-negara lain seperti Siam dan kerajaan British.
Siam seringkali
menganggap Kedah sebagai sebahagian dari wilayah negaranya.
Pertamanya, sekiranya
ini adalah apa yang didakwa, pihak British tidak akan membuat perjanjian dengan
Sultan Kedah bagi mendapatkan Pulau Pinang pada tahun 1786 dan seterusnya
Seberang Prai pada tahun 1798.
Keduanya, jika Kedah
adalah milik Siam, pihak Siam sudah pasti akan memaksa pegawai British untuk
membuat perjanjian serahan ini (penyerahan Pulau Pinang dan Seberang Prai)
dengan mereka dan bukannya dengan Sultan Kedah.
Kerajaan-kerajaan
Melayu yang lain seperti Kelantan, Terengganu dan juga Perlis memenuhi
syarat-syarat ini memandangkan kesemua kerajaan ini mempunyai kapasiti untuk
menjalin hubungan antarabangsa dengan negara-negara lain.
Ini jelas terbukti
daripada amalan turun-temurun pengiriman berbalas bunga mas dan hadiah yang
berlangsung di antara kerajaan-kerajaan Melayu ini dengan Siam.
Lagipula, setelah tamat
Perang Dunia kedua, kerajaan British telah menugaskan Sir Harold Mac Michael
untuk mendapatkan persetujuan sultan-sultan Melayu dari Perlis, Kedah, Kelantan
dan Terengganu untuk menyerahkan kedaulatan mereka bagi memudahkan pembentukan
Malayan Union pada tahun 1946.
Sekiranya sultan-sultan
ini tidak berdaulat, kenapa perlu pihak British untuk mendapatkan persetujuan
mereka?
Fakta-fakta ini
membuktikan secara langsung dan tidak langsung bahawa kerajaan-kerajaan Melayu
ini adalah kerajaan yang berdaulat.
Maxim perundangan nemo
dat quod nan habet ada menyebut bahawa ‘tiada siapa boleh memindahkan pemilikan
lebih daripada apa yang dia miliki’.
Memandangkan Kedah dan
kerajaan-kerajaan Melayu ini bukanlah jajahan atau negeri bawahan yang ditadbir
secara langsung oleh Siam atau British, kerajaan British dan Siam tidak berhak
untuk melukis garis sempadan antarabangsa seperti yang termaktub di dalam Perjanjian
British-Siam 1909 tanpa terlebih dahulu mendapatkan persetujuan
pemerintah-pemerintah Melayu yang mana wilayah kerajaan-kerajaan mereka
terkesan akibat syarat-syarat perjanjian ini.
Kesimpulan
Sebelum Perjanjian
British-Siam 1909 dimeterai, kedaulatan kerajaan-kerajaan Melayu di utara
Semenanjung Malaysia ini melampaui sempadan moden Malaysia-Thailand yang
membentang dari Kuala Sungai Golok di Kelantan ke perbukitan Bukit Puteh di
Perlis.
Kerajaan British dan
Siam telah memeterai perjanjian ini tanpa mempertimbangkan kesannya ke atas
sosio-demografi masyarakat Melayu di utara Semenanjung Malaysia dan selatan
Thailand.
Tidak keterlaluan untuk
menyatakan sempadan moden Malaysia-Thailand yang ada pada hari ini bukanlah
dilukis bagi memisahkan wilayah sebenar orang-orang Melayu dan Siam.
Tindakan kerajaan
British dan Siam yang mengorbankan wilayah tradisi orang-orang Melayu bagi
tujuan cita-cita imperialistik mereka adalah suatu yang tidak patut
berlaku.
Dalam pada yang lain,
pemerintah Melayu pada waktu itu sendiri terlalu lemah untuk bangkit menentang
penindasan dan perlakuan sewenang-wenangnya British dan pihak Siam.
Benar, tiada satu pun
pemerintah kerajaan-kerajaan Melayu ini yang secara lantang menentang garis
sempadan ini sehinggalah kesannya terasa sehingga ke hari ini.
Sama ada perjanjian ini
adalah sah atau tidak menurut undang-undang antarabangsa, kenyataannya adalah
agak mustahil bagi Malaysia untuk mempersoalkan keesahannya kerana perjanjian
zaman penjajahan ini telahpun diakui dan digunapakai tanpa sebarang bantahan
untuk lebih daripada 100 tahun.
Wilayah negara kita
adalah apa yang ada pada hari ini.
Rakyat Malaysia patut
mengambil iktibar daripada kesan Perjanjian British-Siam 1909 ini sebagai suatu
pengajaran.
Kita haruslah berdiri
teguh sebagai rakyat yang setia mempertahankan pusaka kita yang paling berharga
- negara kita yang tercinta, Malaysia.
Sumber : stroawani.com,
11 Agustus 2016.
0 komentar:
Posting Komentar