Rabu, 11 November 2015

PELAJAR SELATAN THAILAND TAHFIZ DI MALAYSIA


Ampera Patani - Yayasan Yayasan Kebajikan dan Pendidikan Asia Tenggara (Seaweed) berjaya melahirkan lapan pelajar Diploma Tahfiz Al-Quran di Pusat Islam Darul Quran terdiri dari kalangan masyarakat wilayah bergolak selatan Thailand.
Pengerusinya, Tan Sri Wan Abu Bakar Wan Omar berkata, pelajar ini adalah antara yang terakhir bernaung dibawah mereka selepas melahirkan hampir 100 jururawat dan pelajar jurusan kemahiran yang menerima pendidikan formal di negara ini.
Katanya, sebagai pengerusi yayasan itu, beliau amat khuatir sekiranya pelajar ini gagal untuk meneruskan kehidupan sebaik mungkin di negara mereka sebaik pulang ke kampung halaman masing-masing.
"Kerajaan Thailand hendaklah memainkan peranan sebaik mungkin agar usaha meningkatkan modal insan dan pendidikan masyarakat setempat.
"Masyarakatnya mengharapkan kerajaan terus memberikan bantuan agar mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi," katanya ketika menyampaikan sijil penghargaan kepada pelajar yang menamatkan pengajian selama tiga tahun.
Program berkenaan adalah kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melibatkan pelajar berumur antara 20 hingga 25 tahun yang berasal daripada tiga wilayah utama, iaitu Narathiwat, Pattani dan Songkhla.
Wan Abu Bakar sebelum ini adalah Ketua Pengarah Task Force 2010 (Malaysia) yang menjadi koordinator usaha kedamaian di selatan Thailand.
Task Force 2010 (Malaysia) ditubuhkan pada 20 Oktober 2007 yang diberi mandat selama tiga tahun oleh Jabatan Perkhidmatan Awam mengendalikan usaha-usaha damai di negara gajah putih itu.
Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu akhirnya ditamatkan perkhidmatannya pada 1 Januari 2010.
Mengulas mengenai Yayasan Seaweed, Wan Abu Bakar berkata, mereka juga mengadakan kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan ke seluruh Asia Tenggara termasuk di Kemboja.
"Kita mengalu-alukan sumbangan korporat dan individu perseorangan dalam memastikan yayasan ini dapat memberikan bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan," katanya.

0 komentar:

Posting Komentar